Apakah itu tenaga dan kalori?
Kalori adalah tenaga yang dihasilkan daripada pembakaran makanan dalam badan. Nilai kalori menggunakan unit kcal. Manusia memerlukan tenaga/kalori untuk aktiviti-aktiviti berikut:
- Pengekalan suhu badan
- Metabolisma badan
- Tumbesaran
- Aktiviti fizikal
Faktor-faktor keperluan kalori
Setiap individu memerlukan jumlah kalori yang berbeza. Hal ini kerana keperluan kalori dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti berikut:
- Jantina
- Umur
- Kadar metabolisma badan
- Aktiviti fizikal
Jantina: Lelaki vs Wanita
Lelaki memerlukan lebih kalori berbanding wanita kerana lelaki mempunyai lebih otot daripada wanita.
Umur: Muda vs Tua
Remaja perlukan kalori lebih tinggi berbanding warga emas disebabkan oleh keperluan untuk tumbesaran.
Kadar metabolisma badan
Individu yang mempunyai kadar metabolisma badan tinggi memerlukan lebih banyak kalori berbanding individu yang mempunyai kadar metabolisma badan rendah.
Aktiviti fizikal
Keperluan kalori adalah lebih tinggi bagi individu yang aktif daripada individu yang sedentari atau kurang aktif.
Kesan pengambilan kalori yang berlebihan
Walau bagaimanapun, pengambilan kalori perlu dikawal supaya tidak melebihi daripadan keperluan. Kalori yang berlebihan menyebabkan masalah kesihatan seperti:
- Kencing manis
- Tekanan darah tinggi
- Penyakit jantung
- Beberapa jenis kanser
Kesan kekurangan kalori
Kurang pengambilan kalori juga memberi kesan negatif kepada kesihatan kerana boleh menyebabkan perkara berikut:
- Kurang berat badan atau susut
- Kurang mendapat zat makanan
- Masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak
Jika kekurangan kalori ini berlaku dalam tempoh yang lama, individu tersebut akan mengalami masalah kekurangan zat makanan yang lebih serius.
Keperluan kalori
Nak tahu keperluan kalori anda?
Mari guna kaedah ‘Quick Method’ (Kaedah pantas)
Langkah 1 : Perlu tahu Indeks Jisim Tubuh (IJT) / BMI, berat badan ideal dan tahap aktiviti fizikal anda.
Langkah 2 : Tentukan keperluan kalori dengan formula berikut :
- Berat badan semasa (kg) didarabkan dengan faktor seperti Jadual 1 mengikut status berat badan dan aktiviti fizikal.
- Tambah 400-600 kcal/hari sekiranya perlu peningkatan berat badan atau tolak pengambilan tenaga jika sebaliknya. (Tidak sesuai untuk pesakit tenat).
Contoh pengiraan:
Siti berusia 30 tahun dengan berat badan 72kg, ketinggian beliau adalah 160cm dan BMI pula 28.1kg/m2. BMI Siti menunjukkan beliau mengalami lebih berat badan. Siti seorang telefonis yang tidak banyak melakukan aktiviti fizikal.
Jadi, keperluan kalori Siti adalah :
72kg x 30 (Faktor F) = 2160 kcal sehari
Disebabkan Siti berlebihan berat badan, tolakkan 500kcal daripada jumlah kalori yang telah diperolehi iaitu :
2160kcal – 500kcal = 1660kcal ? 1800 kcal*
*Siti perlu mengamalkan gaya hidup yang lebih aktif.
Jadual 1 : Faktor F Bagi Penentuan Kalori Untuk Orang Dewasa
|
Lebih Berat Badan |
Berat Badan Normal |
Kurang Berat Badan |
Aktiviti Sedentari |
20 – 25 kcal/kg |
30 kcal/kg berat badan |
30 kcal/kg berat badan |
Aktiviti Sederhana |
35 kcal/kg berat badan |
35 kcal/kg berat badan |
|
Aktiviti Berat |
40 kcal/kg berat badan |
40 kcal/kg berat badan |
Rujukan pengiraan kalori: http://www.myhealth.gov.my/ketahui-keperluan-kalori-anda/
Kesimpulan
Penting untuk memastikan pengambilan kalori dalam keperluan supaya keseimbangan tenaga dapat dicapai iaitu pengambilan tenaga sama dengan penggunaan tenaga dan seterusnya menghalang timbulnya masalah berlebihan dan kekurangan kalori. Perlu diingat juga makanan yang diambil harus selari dengan Piramid Makanan Malaysia kerana membantu mengoptimumkan pengambilan zat makanan yang diperlukan oleh tubuh.
Berikut adalah contoh menu mengikut jumlah kalori.
Rajah 1: Menu 1500kcal |
Rajah 2: Menu 1800kcal |
Rajah 3: Menu 2000kcal |
Rajah 4: Menu 2500kcal |
Rujukan contoh menu mengikut jumlah kalori: http://www.myhealth.gov.my/ketahui-keperluan-kalori-anda/