Kata-kata Hikmah

Memaparkan catatan dengan label Makanan dan Kesihatan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Makanan dan Kesihatan. Papar semua catatan

BIJIRIN PENUH DAN KESIHATAN

 

Jenis bijirin penuh

Rajah 1: Jenis bijirin penuh yang biasa didapati

 

Bijirin penuh

Bijirin adalah makanan ruji bagi kebanyakan masyarakat. Pada hari ini kita boleh dapatkan bijirin dalam pelbagai jenis seperti nasi, pasta, mi, roti dan sebagainya. Walau bagaimanapun, majoriti rakyat Malaysia lebih suka mengambil bijirin yang telah diproses berbanding bijirin penuh. Salah satu faktor adalah kurang menyedari kebaikan yang terdapat pada bijirin penuh.

 

Apa itu bijirin penuh?

Bijirin penuh termasuk keseluruhan biji benih, yang dipanggil isirung. Isirung merangkumi tiga komponen yang berlainan: bran, endosperma dan germa. Sekiranya isirung telah dipecahkan, dihancurkan atau dileperkan, ia hanya boleh dipanggil bijirin penuh dalam makanan yang diproses sekiranya masih lagi mengekalkan komponen tersebut dalam jumlah yang sama berbanding semasa dalam keadaan asal.

 

Perbezaan antara bijirin penuh dan bijirin yang diproses

Rajah 2: Perbezaan antara bijirin penuh dan bijirin yang diproses

 

Perbezaan bijirin penuh & mil penuh

Bijirin penuh mengandungi bran, endosperma dan germa biji benih.

Mil penuh mengandungi bran, endosperma dan germa biji benih yang telah dikisar untuk menghasilkan tekstur yang lebih halus. 

 

Bijirin yang diproses

Bijirin yang diproses adalah bijirin yang telah dibuang bran dan germa serta mengekalkan hanya endosperma. Proses ini dlakukan untuk memperbaiki tekstur bijirin dan memanjangkan jangka hayatnya. Tetapi ia telah membuang serat makanan, zat besi, vitamin B serta bran dan germa. Beras putih adalah beras yang sudah diproses.

 

Bijirin penuh lebih berkhasiat

Kelebihan bijirin penuh  telah dikenalpasti seawal kurun ke 4 lagi. Kajian terkini mengenai kebaikan bijirin penuh dan kaitannya terhadap kesihatan telah menunjukkan bahawa makanan ini mempunyai pelbagai manfaat dan boleh menurunkan risiko beberapa penyakit tidak berjangkit seperti penyakit jantung, kanser dan kencing manis. 


Khasiat penuh kebaikan dalam bijirin penuh

Pelbagai kebaikan yang terdapat dalam bijirin penuh. Antaranya adalah seperti berikut:

  • Membantu kesihatan usus

Makanan yang mengandungi bijirin penuh tinggi dengan serat. Serat membantu sistem penghadaman dengan melancarkan pergerakan najis dan seterusnya mengelakkan masalah sembelit.

 

Sakit perut akibat sembelit

Rajah 3: Sakit perut akibat sembelit


  • Menurunkan risiko penyakit kardiovaskular

Terdapat banyak penyelidikan yang menunjukkan bahawa pengambilan bijirin penuh boleh menyumbang kepada penurunan risiko penyakit jantung kerana komponen seperti serat dan fitokimia ada dalam bijirin penuh. 

 

Penyakit jantung

Rajah 4: Sayangi jantung anda

 

  • Mengurangkan risiko sesetengah jenis kanser

Terdapat kajian menunjukkan bahawa pengambilan bijirin penuh yang tingggi membantu mengurangkan sesetengah jenis kanser. Antioksida yang terdapat dalam bijirin penuh serta perlindungan daripada fitokimia, vitamin E, mineral dan serat yang tinggi di dalam bijirin penuh memainkan peranan dalam pencegahan kanser tersebut.

 

Hari kanser sedunia 4 Februari

Rajah 5: Hari kanser sedunia

 

  • Mengurangkan risiko penyakit kencing manis jenis 2

Kajian juga mendapati bahawa risiko penyakit kencing manis jenis 2 dapat dikurangkan dengan pengambilan bijirin penuh secara tetap. Hal ini kerana kehadiran serat yang membantu dalam pengurusan berat badan iaitu aspek penting dalam mengawal penyakit kencing manis serta membantu mengawal gula dalam darah bagi pesakit kencing manis.

 

Penyakit diabetis jenis 2

Rajah 6: Ketahui tahap gula dalam darah

 

  • Menurunkan risiko obesiti dan pertambahan berat badan

Ada juga penyelidikan menunjukkan bahawa pengambilan bijirin penuh dapat menurunkan risiko obesiti dan pertambahan berat badan. Serat yang terkandung dalam bijirin penuh membantu memberi rasa kenyang dan seterusnya mengurangkan kuantiti makanan yang diambil serta mengelakkan daripada makan berlebihan.

 

Obesiti

Rajah 7:Timbang berat badan secara berkala


Sekarang anda sudah mengetahui bahawa bijirin penuh memberi banyak kebaikan. Jadi anda boleh mula jadikan bijirin penuh sebahagian daripada diet harian anda seperti yang telah disarankan oleh Panduan Diet Malaysia.


Bijirin

Rajah 8: Bijirin

 

Suka info kesihatan dan ingin amalkan gaya hidup sihat? Ikuti blog Sihat dan Yakin sekarang dan kongsikan kepada yang lain supaya kita dapat manfaat bersama.

 

'KEKAL SIHAT DAN YAKIN BERSAMA' 


OBESITI: CARA MENGATASI

Kebiasaannya obesiti berpunca daripada tabiat makan berlebihan dan kurang melakukan aktiviti fizikal. Jika tidak menurunkan berat badan, obesiti meningkatkan risiko untuk mendapat penyakit kronik yang tidak berjangkit seperti kencing manis, tekanan darah tinggi,  sakit jangtung dan lain-lain. Tambahan lagi, obesiti menyebabkan sesuatu penyakit menjadi lebih serius.

Obesiti boleh mengurangkan kualiti hidup kita disebabkan oleh  penyakit kronik yang dialami. Apabila sakit sudah tentu kita tidak boleh melakukan aktiviti seharian dengan lancar seperti sebelumnya manakala produktiviti kerja juga akan menurun. Di samping itu, kita perlu mengeluarkan perbelanjaan untuk merawat penyakit dan membeli ubat-ubatan. Ringkasnya, obesiti akan mengganggu kehidupan dan memberi beban kewangan kepada kita. Oleh itu, sesuatu perlu dilakukan untuk mengatasi obesiti.

Rajah 1: Gambar hiasan

Sekarang Wanie kongsikan cara-cara mengatasi obesiti di kalangan orang dewasa dan juga kanak-kanak.

Cara mengatasi obesiti

  1. Makan secara sihat, mengikut keperluan dan seimbang
  2. Kerap bersenam
  3. Urus tekanan/stress dengan bijak
  4. Hentikan tabiat buruk seperti merokok, minum arak dan makan lewat malam 

Rajah 2: Pinggan Sihat  


Rajah 3: Tip turun berat badan

 

Bagi kanak-kanak fokus utama adalah untuk menggalakkan mereka menjadi aktif dan makan makanan yang lebih sihat.

  1. Kanak-kanak perlu melakukan aktiviti fizikal selama 1 jam atau lebih sehari
  2. Ibu bapa perlu memberi sokongan dan menunjukkan minat terhadap aktiviti anak-anak mereka.
  3. Aktiviti sedentari dihadkan selama 2 jam atau kurang sehari
  4. Galakkan kanak-kanak untuk makan sayur dan buah-buahan
  5. Pastikan kanak-kanak makan mengikut masa
  6. Amalkan makan bersama keluarga
 
Rajah 4: Gambar hiasan

 
Rajah 5: Saranan KKM Bagi Pengambilan buah dan sayur

Kesimpulan:

Wanie harap dengan perkongsian post kali ini dapat membantu para pembaca dan keluarga untuk menjadi lebih sihat. Memang tidak mudah untuk mengubah tabiat kurang sihat yang sudah sekian lama kita amalkan. Tetapi tidak mustahil juga untuk kita berubah. Apa orang kata 'No Pain No Gain'. Jadi jom! sama-sama kita amalkan gaya hidup sihat. 

Untuk maklumat lanjut berkenaan obesiti tekan link di bawah:

1. Pengenalan obesiti

2. Faktor dan kesan obesiti 


Suka info kesihatan dan ingin amalkan gaya hidup sihat? Jom! ikuti blog Wanie sekarang dan kongsikan supaya orang lain juga dapat manfaat.

 

'KEKAL SIHAT DAN YAKIN BERSAMA' 

OBESITI: FAKTOR DAN KESAN

Ramai yang pernah dengar tentang obesiti dan mungkin ada yang dah tahu apa itu obesiti. Kalau belum tahu silakan tekan di sini.

Post kali ini Wanie ingin kongsikan tentang faktor obesiti dan kesan terhadap kesihatan kita. 

 

Faktor Obesiti

Untuk pengetahuan semua faktor utama obesiti adalah wujudnya ketidakseimbangan tenaga antara pengambilan tenaga dan penggunaan tenaga. Ini bermaksud kita mengambil banyak makanan terutama yang mengandungi tinggi lemak serta gula tetapi kurang aktiviti fizikal. Hal ini menyebabkan berlakunya lebihan tenaga (juga dikenali sebagai kalori) dalam badan.

Jadi apa yang akan berlaku apabila tenaga/kalori daripada makanan/minuman berlebihan dalam badan? 

Lebihan tenaga/kalori ini akan disimpan dalam badan sebagai lemak. Oleh itu, jika kita tidak menggunakan tenaga/kalori yang diambil dengan sewajarnya tenaga/kalori tersebut akan menjadi lemak dalam badan kita dan lama kelamaan lemak tersebut berkumpul sehinggalah kita menjadi obes.


Rajah 1: Gambar hiasan
 

Budaya makanan Malaysia menjurus kepada budaya makanan yang tidak sihat. Cuba perhatikan makanan yang dijual di kedai makan atau kita sendiri sediakan. Kebanyakannya tidak mematuhi apa yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Sebagai contoh, snek yang digoreng, hidangan yang tinggi lemak dan tiada kepelbagaian dalam makanan.

 

Rajah 2: Gambar hiasan

Majoriti rakyat Malaysia yang dewasa mempunyai tinggi pengambilan kalori daripada karbohidrat, lemak dan minuman manis tetapi pada masa yang sama tiada masa untuk bersenam.

 

Rajah 3: Gambar hiasan


Kanak-kanak Malaysia pula mempunyai tinggi pengambilan makanan terproses, minuman manis dan kerepok. Mereka juga kurang melakukan aktiviti fizikal kerana pada zaman sekarang kanak-kanak lebih memilih untuk bermain gadget atau menonton TV.

 

Rajah 4: Gambar hiasan


Rajah 5: Gambar hiasan

Selain itu, obesiti boleh berlaku disebabkan oleh genetik. Jika keluarga mempunyai sejarah obesiti, risiko untuk menjadi obes juga tinggi. Individu yang mempunyai faktor genetik lebih perlu menjaga pemakanan serta mengamalkan gaya hidup aktif. Faktor lain yang menyumbang kepada obesiti ialah masalah perubatan (kesan daripada pengambilan sesuatu ubat) serta psikologikal termasuk tekanan perasaan, kebimbangan dan kebosanan.

 

Rajah 6: Gambar hiasan


Ada sesetengah orang kata gemuk bererti orang itu bahagia. Betul ke? Entah la Wanie pun tak pasti. Yang pastinya kegemukan/obesiti memberikan kesan yang negatif terhadap kesihatan kita.

 

Kesan Obesiti

Untuk pengetahuan anda individu yang obes lebih berisiko untuk mendapat penyakit kronik yang tidak berjangkit seperti kencing manis, tekanan darah tinggi serta sakit jantung. 

Individu tersebut juga boleh mengalami masalah pernafasan seperti asma dan masalah tidur, komplikasi sendi dan tulang seperti osteoarthritis dan kesakitan tulang pinggul. 

Selain itu, obesiti memberi kesan kepada psikologi seseorang antaranya kemurungan dan kurang keyakinan diri. Individu yang telah obes akan bertambah gemuk apabila umur meningkat jika dia tidak mengambil langkah untuk menurunkan berat badan. Akhir sekali, obesiti boleh meningkatkan risiko untuk penyakit menjadi lebih teruk.


Kesimpulan:

Setiap antara kita perlu mengamalkan pemakanan sihat dan melakukan aktiviti fizikal supaya kita dapat mengekalkan kesihatan pada tahap optimum. Ibu bapa perlu cakna tentang amalan gaya hidup sihat untuk memastikan anak-anak juga mempunyai kesihatan yang baik dengan mengamalkan gaya hidup sihat bersama keluarga. 

Jika anda atau ahli keluarga mengalami masalah obesiti, anda dan keluarga perlu ambil tindakan segera untuk mengatasi masalah tersebut supaya kesihatan anda dan keluarga tidak menjadi lebih teruk. Cara untuk mengatasi obesiti ada di sini.

Suka info kesihatan dan ingin amalkan gaya hidup sihat? Jom! ikuti blog Wanie sekarang dan kongsikan supaya orang lain juga dapat manfaat.

 

'KEKAL SIHAT DAN YAKIN BERSAMA'

MASALAH KESIHATAN DAN PEMAKANAN

Tahukah anda Malaysia mempunyai masalah kesihatan berkaitan dengan pemakanan dan gaya hidup yang serius?

Apakah masalah kesihatan tersebut?

Okey...post kali ini akan menjawab 2 persoalan di atas.


Malaysia negara paling tinggi obes di Asia Tenggara

Tajuk di atas adalah tajuk artikel surat khabar Kosmo yang bertarikh 24 Januari 2022. Menurut artikel tersebut Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan kadar obesiti negara ini adalah tertinggi di Asia Tenggara iaitu sebanyak 15.6 peratus.

KKM memberitahu, jumlah itu mengatasi Brunei yang mencatatkan 14.1 peratus dan diikuti Thailand 10 peratus dan Indonesia sebanyak 6.9 peratus.

Menurut KKM, data tersebut diambil berdasarkan Laporan Semakan Populasi Dunia 2019.

Dalam pada itu, KKM juga memberitahu, menerusi Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) yang dijalankan pada tahun 2019, kira-kira 50.1 peratus rakyat negara ini mempunyai masalah berat badan berlebihan.

Berdasarkan data itu juga, satu dalam setiap dua rakyat dewasa negara ini sedang mengalami masalah obesiti.

Jelas KKM, prevalen berlebihan berat badan dalam kalangan orang dewasa adalah 30.4 peratus pada tahun 2019 dan ia me­ningkat secara mendadak sejak 1996.

 

Data yang Wanie kongsikan jelas menunjukkan bahawa masalah kegemukan/obesiti di Malaysia semakin serius. Tetapi adakah anda tahu maksud sebenar kegemukan/obesiti?


Okey...sekarang jom! kita tengok apa itu kegemukan/obesiti.

Obesiti bermaksud berlebihan lemak dalam badan yang menyebabkan masalah kesihatan.

Pengiraan Indeks Jisim Badan atau Body Mass Indeks (BMI) digunakan untuk mengklasifikasikan sama ada individu tersebut obes atau tidak.

Formula BMI: Berat badan (kg) bahagi dengan tinggi (m) kuasa dua

Jika, 

  • BMI 25kgm-2 dan ke atas kategori berlebihan berat badan.
  • BMI 30kgm-2 dan ke atas kategori obes.
Jadi anda kira sekarang BMI untuk mengetahui samada anda berada dalam kategori obes atau tidak. 
 
Di bawah merupakan beberapa keratan akhbar yang melaporkan masalah kegemukan/obesiti di Malaysia.
 
keratan akhbar yang melaporkan masalah kegemukan/obesiti di Malaysia

keratan akhbar yang melaporkan masalah kegemukan/obesiti di Malaysia

obesiti dalam kalangan kanak-kanak

Malaysia nombor satu dalam kategori obes

Makin ramai rakyat Malaysia gemuk atau obes

Rakyat Malaysia palig gemuk atau obes di Asia Tenggara
 
 
Kesimpulan:
 
Masalah kesihatan berkaitan dengan pemakanan dan gaya hidup yang serius di Malaysia adalah kegemukan/obesiti. BMI digunakan untuk mengetahui sama ada seseorang individu obes atau tidak.
 
Ketahui lebih lanjut tentang kegemukan/obesiti di sini
 
Suka info kesihatan dan ingin amalkan gaya hidup sihat? Jom! ikuti blog Wanie sekarang dan kongsikan supaya orang lain juga dapat manfaat.
 
'KEKAL SIHAT DAN YAKIN BERSAMA'
 

Catatan Terbaru

TEMUI KEAJAIBAN TEH HERBA: PERJALANAN PEMULA KE ARAH KESIHATAN DAN KESEJAHTERAAN

Teh herba telah dilihat semakin meningkat dari segi populariti apabila orang mencari jalan semula jadi untuk mendapat kesihatan yang lebih b...

Catatan Popular