Ramai yang pernah dengar tentang obesiti dan mungkin ada yang dah tahu apa itu obesiti. Kalau belum tahu silakan tekan di sini.
Post kali ini Wanie ingin kongsikan tentang faktor obesiti dan kesan terhadap kesihatan kita.
Faktor Obesiti
Untuk pengetahuan semua faktor utama obesiti adalah wujudnya ketidakseimbangan tenaga antara pengambilan tenaga dan penggunaan tenaga. Ini bermaksud kita mengambil banyak makanan terutama yang mengandungi tinggi lemak serta gula tetapi kurang aktiviti fizikal. Hal ini menyebabkan berlakunya lebihan tenaga (juga dikenali sebagai kalori) dalam badan.
Jadi apa yang akan berlaku apabila tenaga/kalori daripada makanan/minuman berlebihan dalam badan?
Lebihan tenaga/kalori ini akan disimpan dalam badan sebagai lemak. Oleh itu, jika kita tidak menggunakan tenaga/kalori yang diambil dengan sewajarnya tenaga/kalori tersebut akan menjadi lemak dalam badan kita dan lama kelamaan lemak tersebut berkumpul sehinggalah kita menjadi obes.
Rajah 1: Gambar hiasan |
Budaya makanan Malaysia menjurus kepada budaya makanan yang tidak sihat. Cuba perhatikan makanan yang dijual di kedai makan atau kita sendiri sediakan. Kebanyakannya tidak mematuhi apa yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Sebagai contoh, snek yang digoreng, hidangan yang tinggi lemak dan tiada kepelbagaian dalam makanan.
Rajah 2: Gambar hiasan |
Majoriti rakyat Malaysia yang dewasa mempunyai tinggi pengambilan kalori daripada karbohidrat, lemak dan minuman manis tetapi pada masa yang sama tiada masa untuk bersenam.
Rajah 3: Gambar hiasan |
Kanak-kanak Malaysia pula mempunyai tinggi pengambilan makanan terproses, minuman manis dan kerepok. Mereka juga kurang melakukan aktiviti fizikal kerana pada zaman sekarang kanak-kanak lebih memilih untuk bermain gadget atau menonton TV.
Rajah 4: Gambar hiasan |
Rajah 5: Gambar hiasan |
Selain itu, obesiti boleh berlaku disebabkan oleh genetik. Jika keluarga mempunyai sejarah obesiti, risiko untuk menjadi obes juga tinggi. Individu yang mempunyai faktor genetik lebih perlu menjaga pemakanan serta mengamalkan gaya hidup aktif. Faktor lain yang menyumbang kepada obesiti ialah masalah perubatan (kesan daripada pengambilan sesuatu ubat) serta psikologikal termasuk tekanan perasaan, kebimbangan dan kebosanan.
Rajah 6: Gambar hiasan |
Ada sesetengah orang kata gemuk bererti orang itu bahagia. Betul ke? Entah la Wanie pun tak pasti. Yang pastinya kegemukan/obesiti memberikan kesan yang negatif terhadap kesihatan kita.
Kesan Obesiti
Untuk pengetahuan anda individu yang obes lebih berisiko untuk mendapat penyakit kronik yang tidak berjangkit seperti kencing manis, tekanan darah tinggi serta sakit jantung.
Individu tersebut juga boleh mengalami masalah pernafasan seperti asma dan masalah tidur, komplikasi sendi dan tulang seperti osteoarthritis dan kesakitan tulang pinggul.
Selain itu, obesiti memberi kesan kepada psikologi seseorang antaranya kemurungan dan kurang keyakinan diri. Individu yang telah obes akan bertambah gemuk apabila umur meningkat jika dia tidak mengambil langkah untuk menurunkan berat badan. Akhir sekali, obesiti boleh meningkatkan risiko untuk penyakit menjadi lebih teruk.
Kesimpulan:
Setiap antara kita perlu mengamalkan pemakanan sihat dan melakukan aktiviti fizikal supaya kita dapat mengekalkan kesihatan pada tahap optimum. Ibu bapa perlu cakna tentang amalan gaya hidup sihat untuk memastikan anak-anak juga mempunyai kesihatan yang baik dengan mengamalkan gaya hidup sihat bersama keluarga.
Jika anda atau ahli keluarga mengalami masalah obesiti, anda dan keluarga perlu ambil tindakan segera untuk mengatasi masalah tersebut supaya kesihatan anda dan keluarga tidak menjadi lebih teruk. Cara untuk mengatasi obesiti ada di sini.
Suka info kesihatan dan ingin amalkan gaya hidup sihat? Jom! ikuti blog Wanie sekarang dan kongsikan supaya orang lain juga dapat manfaat.
'KEKAL SIHAT DAN YAKIN BERSAMA'
Tiada ulasan:
Catat Ulasan