Wanita hamil: Pemakanan
Wanita yang merancang untuk hamil harus mengamalkan pemakanan sihat dan diteruskan sepanjang kehamilan supaya dapat melahirkan bayi yang sihat. Hal ini kerana pemakanan sihat sebelum hamil akan membekalkan simpanan nutrisi bagi keperluan pembentukan janin pada awal kehamilan. Oleh itu, wanita yang merancang untuk hamil perlu mengambil berat mengenai pemakanan sihat untuk mengurangkan risiko masalah kesihatan semasa hamil dan dapat melahirkan bayi yang sihat.
Wanita perlu melakukan persediaan untuk hamil dengan mengambil makanan yang seimbang dalam memenuhi keperluan nutrisi badan seperti yang disarankan oleh Piramid Makanan Malaysia 2020. Di samping itu, wanita digalakkan untuk mengamalkan gaya hidup aktif dengan melakukan aktiviti fizikal seperti bersenam atau bersukan, tidak merokok dan menjaga kesihatan mental. Wanita juga perlu menjalani pemeriksaan kesihatan untuk mengetahui status kesihatan semasa.
Bagaimana wanita yang merancang untuk hamil melakukan persediaan?
Ketahui Status Kesihatan Diri Anda
Caranya:
Lakukan saringan kesihatan terutamanya untuk mengetahui status tekanan darah,bacaan gula, paras hemoglobin dalam darah serta kategori berat badan anda.
Ketahui juga lain-lain status kesihatan yang boleh memberi risiko kepada kehamilan seperti:
- Penyakit berjangkit
- Penyakit kronik.
- Gaya hidup berisiko
Penuhi Keperluan Nutrien Anda Melalui Amalan Pemakanan Sihat
Caranya:
- Makan pelbagai jenis makanan merangkumi 5 jenis kumpulan makanan setiap hari berdasarkan Piramind Makanan Malaysia 2020.
- Gunakan konsep Pinggan Sihat Malaysia #SukuSukuSeparuh bagi waktu makan utama (sarapan, makan tengahari dan makan malam).
- Hadkan pengambilan makanan tinggi gula, garam, berlemak dan serta makanan terproses.
- Hadkan pengambilan minuman berkafein seperti kopi dan teh kerana ia boleh mengganggu penyerapan nutrien ke dalam tubuh jika diambil secara berlebihan.
Perbaiki Status Kesihatan Bagi Persediaan Untuk Hamil
Caranya:
- Mulakan dengan gaya hidup sihat seperti bersenam setiap hari, berhenti merokok dan belajar menangani stress
- Usaha mendapatkan berat badan dalam kategori BMI normal sebelum hamil melalui pemakanan sihat dan senaman yang konsisten.
- Ambil suplemen Asid Folik setiap hari sekurang-kurangnya 3 bulan sebelum hamil.
Mesej penting pemakanan wanita hamil
Mesej 1:
Capai peningkatan berat badan yang optima dengan memenuhi saranan keperluan tenaga harian setiap hari.
- Wanita hamil memerlukan anggaran 1600 kilokalori tenaga sekiranya tidak aktif dalam melakukan aktiviti harian bagi peningkatan berat badan yang optimum. Sekiranya ibu hamil melakukan aktiviti harian yang sederhana aktif, keperluan tenaga harian adalah sehingga 1800 kilokalori.
- Tambahan sebanyak 80 kilokalori bagi trimester pertama, 280 kilokalori bagi trimester kedua dan 470 kilokalori untuk trimester ketiga bagi menampung perkembangan bayi sepanjang 9 bulan tempoh kehamilan.
Rajah 1: Tip pemakanan untuk wanita hamil sihat |
Mesej 2:
Ambil makanan yang pelbagai dan berkhasiat untuk mencapai keperluan tenaga harian.
Keperluan tenaga harian wanita hamil dapat dipenuhi melalui pengambilan makanan berkhasiat yang meliputi 5 kumpulan makanan berdasarkan Piramid Makanan Malaysia 2020.
Rajah 2: Piramid Makanan Malaysia 2020 |
Mesej 3:
Jadikan Konsep Pinggan Sihat Malaysia sebagai panduan setiap kali waktu makan utama.
Pinggan Sihat Malaysia membantu memastikan pengambilan makanan wanita hamil adalah seimbang, pelbagai dan mencukupi. Isikan suku pinggan dengan kumpulan bijirin, suku dengan kumpulan protein dan separuh dengan kumpulan sayur dan buah. Ambil makanan seperti ini pada waktu makan utama iaitu sarapan, makan tengahari dan makan malam.
Rajah 3: Pinggan Sihat Malaysia |
Mesej 4:
Ambil snek berkhasiat di antara waktu makan utama untuk meningkatkan pengambilan mikronutrien harian.
- Apabila hamil terdapat peningkatan keperluan beberapa jenis mikronutrien untuk memenuhi keperluan ibu dan bayi sepanjang tempoh kehamilan. Antaranya zat besi, iodin, kalsium dan folat. Pengambilan snek berkhasiat di antara waktu makan utama membantu memenuhi keperluan mikronutrien tersebut.
- Contoh snek berkhasiat yang disarankan adalah seperti kekacang rebus, buah-buahan, salad ayam, sandwich telur dan lain-lain jenis makanan yang mengandungi sumber bijirin, sayur, buah, kekacang dan juga protein.
- Elakkan mengambil snek tidak berkhasiat seperti kek, pastri, air berkarbonat, dan lain-lain makanan seumpamanya kerana ia tidak membantu dalam meningkatkan kesihatan ibu dan bayi dalam kandungan.
Rajah 4: Wanita hamil ambil snek sihat antara waktu makan utama |
Mesej 5:
Elakkan peningkatan berat badan berlebihan dengan menghadkan pengambilan makanan dan minuman yang manis dan kurang berkhasiat termasuk makanan terproses.
Kek, aiskrim, biskut, pastri dan kuih-muih manis, manisan, minuman kordial, jus buah-buahan dipek, minuman berkarbonat dan makanan segera adalah antara contoh makanan yang tinggi kandungan gula dan kurang nutrien. Makanan tersebut tidak membantu dalam memenuhi keperluan mikronutrien wanita hamil malahan boleh menyebabkan pengambilan kalori berlebihan dan menyumbang kepada peningkatan berat badan yang mendadak.
Rajah 5: Peningkatan berat badan semasa hamil |
Pemakanan wanita hamil: Kesimpulan
Penjagaan kesihatan melalui pemakanan sepanjang tempoh sebelum dan semasa kehamilan amat penting untuk menjamin kesihatan diri dan bayi. Pemilihan makanan yang berkhasiat, seimbang dan pelbagai mampu memenuhi keperluan nutrien yang diperlukan disamping membantu mencapai peningkatan berat badan yang optimum.
Suka info kesihatan dan ingin amalkan gaya hidup sihat? Ikuti blog Sihat dan Yakin sekarang dan kongsikan kepada yang lain supaya kita dapat manfaat bersama.
'KEKAL SIHAT DAN YAKIN BERSAMA'
Tiada ulasan:
Catat Ulasan