Kata-kata Hikmah

KEKURANGAN ZAT MAKANAN DALAM KALANGAN KANAK-KANAK

Sinar harian pada 13 Mac 2019 melaporkan beberapa data mengenai kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak Malaysia yang diterbitkan oleh beberapa badan kesihatan dan juga kajian.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mendapati 17.7% kanak-kanak dan remaja di Malaysia berusia 5 hingga 19 tahun mengalami masalah pertumbuhan terbantut.

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) tahun lalu pula melaporkan kes kalangan kanak-kanak miskin bandar iaitu seramai 23% golongan itu mengalami masalah tumbesaran terbantut. Manakala 15% pula berdepan masalah kurang berat badan.

Kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan (NHMS) yang dijalankan oleh Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA) pula menyebut, kadar kanak-kanak yang tumbesarannya terbantut meningkat daripada 17% pada 2006 kepada 20.7% pada tahun 2016 iaitu kira-kira dua daripada 10 kanak-kanak. Selain itu, bagi tempoh sama, kanak-kanak yang mengalami masalah kurang berat badan juga meningkat daripada 12.9% kepada 13.7%.

Berdasarkan Kajian Nutrisi Kanak-kanak Malaysia (SEANUTS Malaysia), satu daripada tiga keluarga Malaysia kekurangan nutrisi penting terutamanya vitamin C, zat besi dan kalsium.

 

Rajah 1: Perkembangan Tumbesaran Kanak-kanak

Melihat kepada data tersebut boleh disimpulkan bahawa kanak-kanak Malaysia mengalami kekurangan zat makanan yang serius. Tetapi masih ramai lagi masyarakat kurang peka tentang masalah ini. Oleh itu, post kali ini Wanie kongsikan maklumat berkenaan tentang kekurangan zat makanan (KZM) di kalangan kanak-kanak.

Adakah anda tahu bagaimana untuk mengenal pasti seorang kanak-kanak mengalami kekurangan zat makanan (KZM)?

Definisi bantut menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ialah masalah tumbesaran tidak normal akibat pengambilan makanan tidak seimbang dalam diet seharian bagi satu tempoh lama.

Bahagian pemakanan KKM menjelaskan KZM merujuk kepada salah satu atau lebih masalah berikut:

  1. Kurang berat badan (Berat-untuk-umur <-2SD)
  2. Terbantut (Panjang/Tinggi-untuk-umur <-2SD)
  3. Susut (BMI-untuk-umur <-2SD)

 

Di bawah menunjukkan contoh graf tumbesaran bagi kanak-kanak.

Rajah 2: Graf Berat-Untuk-Umur (Lelaki)

Rajah 3: Graf Berat-Untuk-Umur (Perempuan)

 

Anda boleh merujuk graf lain di sini GRAF TUMBESARAN KANAK-KANAK

Untuk pengetahuan anda indikator berat-untuk-umur dan BMI-untuk-umur sahaja yang menentukan kes baru dalam Program Pemulihan Kanak-Kanak Kekurangan Zat Makanan (PPKZM) yang dijalankan oleh KKM. 

 

Faktor kekurangan zat makanan (KZM)

Sebenarnya terdapat beberapa faktor KZM. Sebagai contoh faktor persekitaran di mana kanak-kanak yang biasa melihat ahli keluarga  makan secara tidak sihat dan seimbang akan mendorong mereka untuk makan seperti keluarga dan tabiat ini akan terbawa sehingga dewasa. 

Selain itu, terdapat beberapa faktor utama yang menyebabkan KZM di kalangan kanak-kanak. Antaranya adalah seperti berikut:

  1. Kurang kebolehdapatan makanan disebabkan tinggal di kawasan pedalaman.
  2. Sosio ekonomi: Golongan miskin tegar, miskin sederhana, miskin.

 

Kesan kekurangan zat makanan (KZM)

Apabila kanak-kanak kekurangan zat makanan sudah tentu memberi kesan kepada kesihatan mereka. Salah satu kesan KZM adalah mengakibatkan kanak-kanak terbantut. Kanak-kanak terbantut mengalami gangguan pertumbuhan fizikal serta penurunan kognitif. 

Apabila dewasa, kanak-kanak tersebut akan mengalami masalah lain seperti:

  1. Kurang produktiviti.
  2. Mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat penyakit degenaratif/gangguan metabolik seperti kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung.
  3. Masalah pemakanan.
  4. Wanita mengandung melahirkan bayi yang tidak cukup berat.
  5. Bayi yang tidak cukup berat mempunyai risiko yang lebih besar untuk mengalami masalah kerencatan pertumbuhan serta terdedah kepada jangkitan.

 

Rajah 3: Kanak-kanak Bantut Bukan Sekadar Pendek

Cara mengatasi kekurangan zat makanan (KZM)

Masalah KZM perlu diatasi kerana memberi kesan yang serius kepada kesihatan kanak-kanak dan juga apabila mereka dewasa kelak. Antara cara untuk mengatasi KZM adalah seperti berikut:

  1. Menggalakkan anak mengambil kalori yang lebih. Berikan hidangan dan snek yang berkalori tinggi.
  2. Galakan aktiviti fizikal sebagai rutin harian. Berehat 15 mnit selepas aktiviti.
  3. Elak makanan yang tinggi gula dan lemak.
  4. Hadkan pengambilan snek sebelum waktu makan.
  5. Elak pengambilan kafein.
  6. Pilih makanan yang digemari anak.
  7. Galakan anak makan dengan kerap (6x sehari) hidangan kecil. 
 
Rajah 4: Gambar hiasan

 
Kesimpulan
 
Masalah KZM dikalangan kanak-kanak boleh menjurus kepada kematian dan kesakitan disebabkan oleh kekurangan zat makanan yang kronik dalam tempoh masa yang lama. Di samping itu, kesan KZM seperti terbantut boleh memberi implikasi jangka panjang terhadap kehidupan individu dan masyarakat termasuk gangguan pertumbuhan fizikal, perkembangan kognitif, pencapaian akademik, menurunkan produktiviti, dan menyumbang kepada penyakit kronik ketika dewasa nanti.  Oleh itu, mengenalpasti penyelesaian kepada masalah ini penting untuk memastikan setiap kanak-kanak dapat membesar dengan sihat dan seterusnya mengurangkan pesakit yang menghidap penyakit kronik disebabkan KZM.
 
Wanie harap perkongsian kali ini dapat meningkatkan kesedaran para pembaca tentang masalah kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia. Jika ada antara pembaca yang mempunyai ahli keluarga yang mengalami masalah ini segera ke pusat kesihatan untuk pengesahan dan pemulihan. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Terbaru

BANGKITKAN TENAGA PAGI ANDA: 5 RESIPI MINUMAN YANG MENYEGARKAN UNTUK MEMULAKAN HARI

Adakah anda penat mencapai secawan kopi tambahan untuk memulakan pagi anda? Bagaimana jika mencuba sesuatu yang berbeza untuk memberi tenaga...

Catatan Popular