Adakah anda tahu apa itu 1000 Hari Pertama Kehidupan?
1000 hari pertama kehidupan adalah satu tempoh yang bermula daripada awal kehamilan sehingga anak berumur 2 tahun.
Tempoh ini sangat penting untuk kesihatan
dijaga dengan sempurna bagi
mengurangkan risiko pelbagai penyakit yang tidak berjangkit seperti
penyakit kencing manis (diabetis) di kemudian hari. Selain itu, tempoh
ini merupakan sangat kritikal untuk tumbesaran,
perkembangan dan kesihatan anak-anak anda.
Kes kanak-kanak bantut di Malaysia mengalami peningkatan yang amat membimbangkan. Berdasarkan
data Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019, sejumlah 21.8% kanak-kanak di bawah umur 5 tahun terbantut kesan daripada
malnutrisi.
Rajah 1 menunjukkan definisi 1000 hari pertama kehidupan dan kepentingannya.
|
Rajah 1: Definisi 1000 hari pertama kehidupan
|
1000 hari pertama kehidupan: Anak Malaysia Sihat
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menjalankan satu program yang dikenali sebagai #anakmalaysiasihat di mana program ini menekankan penjagaan
kesihatan ibu dan anak terutamanya dalam tempoh 1000 hari pertama
kehidupan bagi memastikan ibu dan anak mendapatkan 1000 hari pertama kehidupan yang lebih terjamin dan seterusnya melahirkan generasi yang sihat.
1000 hari pertama kehidupan adalah masa penting bagi pertumbuhan otak, organ penting seperti
organ metabolik, perkembangan dan kematangan sistem saluran cerna dalam
tempoh masa awal kehamilan (12 minggu), perkembangan kognitif dan
kecerdasan, sistem ketahanan badan dan kekebalan serta komposisi tubuh
dan otot.
Penjagaan dari segi kesihatan melalui pemakanan dan perlindungan
(pengurusan rumah) haruslah menjadi fokus utama bagi pertumbuhan dan
perkembangan anak yang sihat dan ceria. Untuk pengetahuan anda penjagaan pemakanan secara optimum dalam
1000 hari pertama kehidupan anak dapat mengurangkan risiko kelahiran berat badan lahir rendah (BBLR) sebanyak 20.0%. BBLR berkait rapat dengan
kecerdasan yang rendah. Selain itu, penjagaan pemakanan yang baik
dalam tempoh ini juga mampu mengurangkan risiko penyakit tidak berjangkit
seperti penyakit jantung (25.0%).
Rajah 2 menunjukkan tempoh 1000 hari pertama kehidupan.
|
Rajah 2: Tempoh 1000 hari pertama kehidupan
|
1000 hari pertama kehidupan: Sebelum kehamilan (pra kehamilan)
Penjagaan pemakanan hendaklah bermula seawal merancang
untuk hamil untuk memastikan ibu dan bayi dalam kandungan berada dalam kesihatan
yang optimum. Hal ini kerana status kesihatan dan pemakanan wanita sebelum
hamil mempengaruhi kesihatan semasa hamil dan juga bayi dalam
kandungan.
Kebiasaannya wanita yang mengamalkan gaya hidup sihat seperti
mengamalkan pemakanan seimbang, mempunyai berat badan yang normal serta bersenam secara berkala mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk hamil dalam keadaan yang lebih sihat berbanding wanita yang
mempunyai masalah berat badan atau pelbagai penyakit kronik
seperti kencing manis (diabetes) dan tekanan darah tinggi (hipertensi).
Justeru wanita perlulah melakukan persediaan kehamilan seawal 6 hingga 3 bulan sebelum hamil. Antara perkara yang perlu diberi
perhatian adalah seperti berikut:
- Ketahui status kesihatan diri anda.
- Penuhi keperluan nutrien anda melalui amalan pemakanan sihat.
- Perbaiki status kesihatan bagi persediaan untuk hamil.
Jika seorang wanita mempunyai masalah kesihatan yang boleh
meningkatkan risiko kesihatan ibu dan bayi dalam kandungan sekiranya
hamil, anda disarankan untuk mendapatkan pandangan dan bebincang dengan pakar perubatan bagi
menguruskan masalah kesihatan tersebut.
1000 hari pertama kehidupan: Kehamilan
Pemakanan sihat semasa hamil
Mesej 1:
Capai peningkatan berat badan yang optima dengan memenuhi saranan keperluan tenaga harian setiap hari.
Mesej 2:
Ambil makanan yang pelbagai dan berkhasiat untuk mencapai keperluan tenaga harian.
|
Rajah 3: Nutrien yang diperlukan oleh tubuh badan terutama wanita hamil
|
Mesej 3:
Jadikan Konsep Pinggan Sihat Malaysia sebagai panduan setiap kali waktu makan utama.
|
Rajah 4: Pinggan sihat Malaysia
|
Mesej 4:
Ambil snek berkhasiat di antara waktu makan utama untuk meningkatkan pengambilan mikronutrien harian.
|
Rajah 5: Contoh snek yang disarankan dan tidak disarankan
|
Mesej 5:
Elakkan peningkatan berat badan berlebihan dengan
menghadkan pengambilan makanan dan minuman yang manis dan kurang
berkhasiat termasuk makanan terproses.
Maklumat lanjut berkenaan pemakanan sihat semasa hamil di sini.
Berat badan wanita hamil: Saranan peningkatan berat badan
Peningkatan berat badan semasa hamil atau dikenali sebagai Gestational Weight Gain (GWG) perlu dipantau secara berkala terutama bagi wanita Kurang Berat Badan (KBB) dan Obes supaya dapat
mengurangkan risiko sedia ada dan memastikan peningkatan berat badan
mereka adalah dalam julat yang disarankan. Saranan tersebut adalah berbeza berdasarkan kategori indeks jisim badan atau BMI pra-kehamilan. Jadual 1 menunjukkan saranan peningkatan berat badan semasa hamil.
Kategori BMI
Pra-kehamilan (kg/m2)e |
Jumlah GWG sepanjang trimester pertama
(1-12 minggu kehamilan) |
Purata & Julat Kadar GWG disarankan bagi trimester kedua dan ketiga (13-40 minggu kehamilan) |
Jumlah GWG sepanjang kehamilan |
Kurang Berat Badan
(<18.5) |
0.5-2.0 kg |
0.5 kg @ 0.44-0.58 kg/ minggu |
12.5 -18.0 kg |
Normal
(18.5 – 24.9) |
0.4 kg @ 0.35-0.50 kg/ minggu |
11.5-16.0 kg |
Berlebihan Berat Badan
(25.0 – 29.9) |
0.3 kg @ 0.23-0.33 kg/ minggu |
7.0-11.5 kg |
Obes
(≥30.0) |
0.2 kg @ 0.17-0.27 kg/ minggu |
5.0-9.0 kg |
Jadual 1: Saranan peningkatan berat badan semasa hamil
Sumber : IOM, 2009
Peningkatan berat badan yang optimum amat penting dalam memenuhi keperluan kalori
dan nutrien bagi perubahan fisiologi tubuh ibu, perkembangan dan
kesihatan janin serta persediaan untuk penyusuan susu ibu selepas
bersalin.
1000 hari pertama kehidupan: Selepas kelahiran
Selepas melahirkan wanita perlu menjaga pemakanan untuk memastikan kesihatan berada dalam keadaan baik. Tambahan lagi, pemakanan yang berkhasiat dan mencukupi dapat membantu wanita menjaga dan menyusukan bayi.
Oleh itu, amalan pemakanan sihat amat penting selepas bersalin. Amalan
pemakanan ini meliputi pengambilan makanan yang pelbagai daripada 5
kumpulan makanan berdasarkan Piramid Makanan Malaysia 2020. Jadual 2 menunjukkan khasiat kumpulan makanan kepada wanita selepas bersalin.
Kumpulan Makanan |
Contoh Jenis Makanan |
Khasiat |
Sayur-sayuran |
Sayur kangkung, bayam, sawi kalian, pegaga, lobak merah, labu, tomato, brokoli dan lain-lain. |
Membekalkan
pelbagai jenis vitamin dan zat mineral antaranya seperti folat, vitamin
A (beta-karotene), vitamin C, vitamin E, zinc, potassium, magnesium dan
antioksidan yang membantu memenuhi keperluan nutrien ibu, meningkatkan
tahap imuniti badan dan membantu ibu berpantang lebih segar dan cergas.
Manakala serat diet yang terkandung membantu sistem penghadaman ibu berfungsi lebih baik dan mengelakkan sembelit. |
Buah-buahan |
Betik, jambu batu, pisang, oren, manga, pir, epal, oren dan lain-lain. |
Nasi, bijirin lain, produk makanan berasaskan bijirin penuh dan ubi-ubian. |
Nasi, oat, barli, gandum, roti, bihun, mee, ubi kentang, ubi kayu, keledek dan lain-lain. |
Merupakan sumber
utama membekalkan tenaga semasa berpantang. Tanpa pengambilan sumber ini
mencukupi, ibu akan mudah lesu, cepat letih dan penat. |
Kumpulan ikan, ayam, telur, daging dan legum. |
Ikan kembung,
ikan selar, ikan aya, dan lain-lain jenis ikan, ayam, daging, telur,
kacang hijau, kacang kuda, kacang merah dan lain-lain. |
Merupakan sumber
protein utama yang membantu membaik pulih sel tubuh ibu bagi pemulihan
semasa berpantang selain vitamin dan mineral seperti zat besi yang
membantu menghasilkan sel darah merah baru, iodin, selenium, zinc dan
Vitamin B12 membantu dalam meningkatkan sistem imuniti badan ibu dan
membantu ibu Kembali bertenaga. |
Susu dan produk tenusu. |
Susu lembu, susu kambing, yogurt, dan keju. |
Sumber kalsium utama ibu untuk memperkuatkan tulang dan menampung keperluan kalsium tubuh bagi persediaan penyusuan susu ibu. |
Jadual 2: Khasiat kumpulan makanan kepada wanita selepas bersalin
Bagi memudahkan amalan pemakanan sihat ini, wanita
disarankan untuk menggunakan konsep Pinggan Sihat Malaysia sebagai
panduan untuk sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam.
Tambahan kalori daripada makanan diperlukan sekiranya wanita menyusu secara eksklusif. Wanita yang menyusu disarankan untuk mengambil snek di antara waktu
makan utama. Snek yang berkhasiat harus menjadi pilihan seperti salad ayam,
susu, yogurt, kacang rebus, sandwich, tauhu sumbat dan lain-lain lagi.
|
Rajah 6: Pemakanan ibu menyusu
|
1000 hari pertama kehidupan: Tahun pertama anak sihat
Apa yang anda perlu lakukan kepada bayi yang baru lahir?
Bayi yang baru lahir perlu diberikan susu ibu secara eksklusif iaitu bayi hanya diberi susu ibu sebagai nutrien lengkap untuk pertumbuhan dan tumbesaran yang optimum
dari lahir hingga berusia enam bulan.
Tiada makanan atau minuman lain diberikan kepada bayi dalam tempoh
tersebut. Makanan pelengkap hanya dimulakan setelah bayi berumur 6
bulan dan ke atas. Penyusuan hendaklah diteruskan sehingga bayi berumur 2
tahun.
Imunisasi juga mesti diberi
mengikut jadual bermula dari lahir sehingga berusia 18 bulan.
Makanan pelengkap
Makanan pelengkap diperkenalkan apabila bayi berusia enam bulan di samping menyusu susu ibu
sehingga berumur dua tahun. Hal ini kerana bayi memerlukan makanan
tambahan untuk kekal “kenyang” dan yang paling utama ialah dapat
membekalkan nutrien yang mencukupi untuk menyokong pertumbuhan dan tumbersaran bayi.
|
Rajah 7: Pelbagai jenis makanan pelengkap
|
1000 hari pertama kehidupan: Tahun kedua anak sihat
Tabiat pemakanan yang sihat perlu dibina
pada peringkat awal kanak-kanak. Justeru kanak-kanak berusia 1-2 tahun ini perlu
mengambil makanan yang mengandungi protein, buah-buahan, sayur-sayuran,
bijirin dan susu tanpa gula serta menghadkan pengambilan lemak tepu dan
gula. Amalan pemakanan sihat ini menjamin perkembangan dan tumbesaran kanak-kanak dan menjauhi risiko penyakit seperti obesiti.
Kajian
menunjukkan kanak-kanak berusia 1-2 tahun yang berlebihan berat badan akan menghadapi masalah berat badan berlebihan ketika berusia
12 tahun sebanyak lima kali ganda daripada yang mempunyai berat badan
ideal.
Apabila kanak-kanak mula berdikari mereka cenderung untuk memilih makanan tertentu sahaja. Kebiasaannya, kanak-kanak berumur antara 1-5 tahun takut untuk mencuba makanan baru yang diperkenalkan
kepada mereka dan masalah utama dalam kalangan kanak-kanak adalah enggan makan sayur. Untuk
peringkat bayi, salah satu masalah adalah keengganan makan makanan
pejal.
Pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak
Pertumbuhan dan perkembangan bayi dan kanak-kanak perlu dipantau secara berkala. Ibu bapa harus membawa bayi dan kanak-kanak ke
klinik kesihatan mengikut jadual yang telah ditetapkan. Kehadiran bayi
dan kanak-kanak ke klinik mengikut jadual adalah penting untuk menilai
tahap kesihatan mereka antaranya:
- Berat badan
- Panjang/tinggi
- Tahap perkembangan motor kasar dan halus
- Pendengaran
- Penglihatan
- Perkembangan psikososial adalah bersesuaian dengan umur
Jika terdapat kelainan status
kesihatan atau perkembangan bayi dan kanak-kanak, rawatan awal akan
diberikan. Pengesanan awal adalah amat penting supaya rawatan serta
penjagaan yang sesuai dapat diberikan dan seterusnya mengurangkan
kemerosotan kesihatan atau kematian dalam kalangan kanak-kanak.
Nak tahu apa masalah kesihatan yang di alami oleh kanak-kanak di Malaysia? Anda boleh baca di sini.
Vaksin dan Imunisasi
Vaksin ialah virus atau bakteria yang
lemah atau mati manakala imunisasi merupakan satu proses memberi
vaksin kepada bayi dan kanak-kanak yang bertujuan untuk mencegah
penyakit-penyakit berjangkit. Imunisasi boleh diberikan secara suntikan atau melalui
mulut. Kesan sampingan vaksinasi adalah ringan dan tidak mebahayakan.
Bayi dan kanak-kanak perlu diberikan
suntikan vaksin mengikut jadual umur yang telah ditetapkan agar bayi dan
kanak-kanak mendapat perlindungan yang optima. Ibu bapa dan penjaga kanak-kanak
diminta untuk menyemak sama ada imunisasi ini diberikan atau tidak.
Tempoh ‘Screen Time’
Pakar perkembangan kanak-kanak dari American Academy of Paediatrics (2016) mencadangkan:
- Bawah 18 bulan : sebaiknya tidak didedahkan kepada sebarang peranti elektronik
- 18 bulan sehingga 2 tahun : penggunaan bawah satu jam hanya dibenarkan dengan pengawasan ibu bapa dalam masa terkawal
- 2 tahun hingga 5 tahun
: penggunaan bawah satu jam sehari. Ibu bapa perlu memberi perhatian
mengenai perkara yang ditonton oleh anak-anak. Ibu bapa juga perlu
menceritakan semula atau memberi penerangan setiap apa yang dipelajari
melalui ‘screen time’
Ibu bapa masih perlu mengawal ‘screen
time’ anak-anak yang semakin membesar agar tidak mengganggu rutin harian seperti persekolahan, riadah dan waktu tidur.
Suka info kesihatan dan ingin amalkan gaya hidup sihat? Ikuti blog Sihat dan Yakin sekarang dan kongsikan kepada yang lain supaya kita dapat manfaat bersama.
'KEKAL SIHAT DAN YAKIN BERSAMA'