Penyusuan susu ibu
Apa itu penyusuan susu ibu secara eksklusif?
Bayi hanya diberikan susu ibu dalam tempoh 6 bulan pertama selepas kelahiran.
Bayi tidak diberi makanan atau minuman lain dalam tempoh tersebut.
Makanan pelengkap hanya dimulakan setelah bayi berumur 6 bulan dan ke atas.
Penyusuan hendaklah diteruskan sehingga bayi berumur 2 tahun.
Rajah 1: Polisi penyusuan susu ibu Malaysia |
Bagaimana untuk memastikan penyusuan secara eksklusif selama 6 bulan tercapai?
- Dimulakan dalam masa 30 minit pertama selepas kelahiran.
- Bayi hanya diberi susu tanpa makanan atau minuman walaupun air masak.
- Menyusu mengikut kemahuan bayi. Kekerapan menyusu bergantung kepada permintaan bayi.
- Tidak menggunakan botol/puting tiruan dalam tempoh tersebut.
- Semua jenis cecair tidak digalakkan diberikan kepada bayi kecuali ubat-ubatan atau rawatan yang diperlukan oleh bayi tersebut.
Apa yang terkandung dalam susu ibu?
Susu ibu dikatakan makanan yang berkhasiat serta lengkap kerana mengandungi pelbagai bahan yang penting untuk memastikan kesihatan bayi dalam keadaan baik. Antara kandungan susu ibu adalah seperti berikut:
- Air
- Lemak
- Protein
- Gula
- Garam
- Mineral
- Vitamin
- Enzim
Jenis susu ibu
Terdapat tiga jenis susu ibu iaitu kolostrum, susu transisi dan susu matang.
Kolostrum
Susu pertama selepas kelahiran, mengandungi tinggi protein, kurang lemak dan gula. Selain itu, terdapat zat-zat yang memperkuat imuniti bayi. Susu berwarna kekuningan yang dihasilkan sewaktu kehamilan dan berlangsung beberapa hari selepas kelahiran bayi.
Rajah 2: Perbezaan warna kolostrum dengan susu selepas 1-2 hari kelahiran |
Susu Transisi
Susu yang menggantikan kolostrum dalam masa empat hari selepas kelahiran dan berterusan selama dua minggu. Susu ini mengandungi laktos, vitamin larut air, dan kandungan lemak yang tinggi. Susu ini juga mengandungi lebih banyak kalori berbanding kolostrum.
Susu Matang
Susu yang mula muncul pada penghujung minggu kedua selepas kelahiran. Susu ini lebih ringan, dan mempunyai lebih air berbanding susu transisi. Kandungan air merupakan 90% daripada komponen susu matang, yang membantu bayi terhidrat. Selebihnya iaitu 10% terdiri daripada karbohidrat, protein dan lemak yang diperlukan untuk tumbesaran bayi.
Terdapat dua jenis susu matang iaitu susu permulaan dan susu penghujung. Susu permulaan (Foremilk) berlaku pada permulaan penyusuan dan mengandungi vitamin, air dan protein manakala susu penghujung (Hindmilk) berlaku pada penghujung penyusuan dan mengandungi kandungan lemak yang lebih tinggi yang diperlukan untuk membantu pertambahan berat badan bayi.
Rajah 3: Perbezaan warna klostrum, foremilk dan hindmilk |
Khasiat susu ibu
Penyusuan dan kandungan susu ibu yang berkhasiat memberi banyak manfaat bukan sahaja kepada bayi bahkan ibu yang menyusu.
Khasiat susu ibu kepada bayi
- Membekalkan nutrien yang terbaik untuk bayi.
- Mengandungi nutrien dalam kadar yang mencukupi.
- Kandungan berubah mengikut keperluan bayi yang sedang membesar.
- Kolostrum-menguatkan sistem imuniti bayi.
- Mengelak masalah alahan seperti asma, ekzema, kolok bayi.
- Membantu meningkatkan kecerdikan anak.
- Tidak mudah tercemar.
- Mudah diperolehi pada suhu yang betul setiap masa.
- Memberi keselesaan dan keselamatan emosi kepada bayi.
- Meningkatkan hubungan kasih sayng antara ibu dan anak.
Kebaikan penyusuan susu ibu kepada ibu
- Membantu mengecutkan rahim, mengembalikan kepada saiz yang asal dengan cepat serta mengurangkan pendarahan selepas bersalin.
- Membakar kalori dan mengembalikan bentuk badan asal dengan lebih cepat.
- Mengurangkan risiko kaser payudara dan ovari.
- Menjarakkan kelahiran.
Kebaikan penyusuan susu ibu yang lain
- Tidak memerlukan perbelanjaan, bekalan sentiasa ada.
- Baik untuk persekitaran kerana tidak perlu botol, kotak, tin.
Adakah anda mengalami masalah untuk menghasilkan susu yang berkhasiat? Berikut merupakan tip atau panduan untuk ibu memiliki susu yang berkhasiat.
Panduan untuk ibu memiliki susu yang berkhasiat
- Pastikan mendapat kalori yang mencukupi.
- Sentiasa kekal terhidrat.
- Ambil makanan tinggi protein.
- Lebihkan kalsium dalam diet.
- Ambil makanan yang mengandungi zat besi.
- Banyakkan mengambil makanan yang mengandungi vitamin B12.
Untuk pengetahuan anda, saranan penyusuan susu ibu secara eksklusif ini selari dengan apa yang dianjurkan oleh Islam. Terdapat ayat-ayat al-quran menjelaskan tentang amalan menyusu. Antaranya adalah seperti berikut:
- Surah Luqman ayat 14.
- Surah Al-Ahqaf ayat 15.
- Surah Al-Baqarah ayat 216, 233.
Selain itu, bahagian Pemakanan Kementerian Kesihatan Malaysia telah melaksanakan Program Pemakanan Wanita Hamil.
Tujuan Program Pemakanan Wanita Hamil:
- Memastikan semua wanita mempunyai pengetahuan mengenai amalan pemakanan yang baik sebagai persediaan kehamilan, semasa hamil dan juga selepas bersalin.
- Memastikan masalah malnutrisi seperti anemia
atau gangguan kekurangan iodin dapat dicegah.
- Mengatasi masalah kurang atau berlebihan peningkatan berat badan semasa hamil.
Setiap daerah mempunyai Pegawai Pemakanan (nutritionist) Kementerian Kesihatan Malaysia samada di peringkat klinik atau komuniti yang akan memberi pendidikan dan bimbingan kepada masyarakat mengenai kepentingan penjagaan pemakanan bagi kehamilan yang sihat melalui aktiviti berikut:
- Pemantauan berat badan wanita hamil di klinik kesihatan.
- Pemberian pil zat besi (hematinik) bagi wanita hamil yang mendapatkan pemeriksaan antenatal di klinik kesihatan kerajaan.
- Advokasi dan konsultasi pemakanan bagi persediaan kehamilan
- Advokasi dan konsultasi pemakanan semasa hamil
- Advokasi dan konsultasi pencegahan anemia dalam kalangan wanita hamil.
- Advokasi dan konsultasi pengurusan berat badan wanita hamil (GWG)
- Advokasi dan konsultasi berkenaan penjagaan pemakanan wanita selepas bersalin .
- Demonstrasi masakan pemakanan wanita hamil.
Semoga maklumat di sini dapat membantu ibu-ibu menyusu dan kongsikan artikel ini supaya ramai lagi yang akan mendapat manfaat.
Suka info kesihatan dan gaya hidup sihat? Ikuti blog Sihat dan Yakin untuk mendapat lebih banyak maklumat.
'KEKAL SIHAT DAN YAKIN BERSAMA'
Tiada ulasan:
Catat Ulasan