Wanita hamil: Pemakanan
Wanita yang merancang untuk hamil harus mengamalkan pemakanan sihat dan diteruskan sepanjang kehamilan supaya dapat melahirkan bayi yang sihat. Hal ini kerana pemakanan sihat sebelum hamil akan membekalkan simpanan nutrisi bagi keperluan pembentukan janin pada awal kehamilan. Oleh itu, wanita yang merancang untuk hamil perlu mengambil berat mengenai pemakanan sihat untuk mengurangkan risiko masalah kesihatan semasa hamil dan dapat melahirkan bayi yang sihat.
Wanita perlu melakukan persediaan untuk hamil dengan mengambil makanan yang seimbang dalam memenuhi keperluan nutrisi badan seperti yang disarankan oleh Piramid Makanan Malaysia 2020. Di samping itu, wanita digalakkan untuk mengamalkan gaya hidup aktif dengan melakukan aktiviti fizikal seperti bersenam atau bersukan, tidak merokok dan menjaga kesihatan mental. Wanita juga perlu menjalani pemeriksaan kesihatan untuk mengetahui status kesihatan semasa.
Bagaimana wanita yang merancang untuk hamil melakukan persediaan?
Ketahui Status Kesihatan Diri Anda
Caranya:
Lakukan saringan kesihatan terutamanya untuk mengetahui status
tekanan darah,bacaan gula, paras hemoglobin dalam darah serta kategori
berat badan anda.
Ketahui juga lain-lain status kesihatan yang boleh memberi risiko kepada kehamilan seperti:
- Penyakit berjangkit
- Penyakit kronik.
- Gaya hidup berisiko
Penuhi Keperluan Nutrien Anda Melalui Amalan Pemakanan Sihat
Caranya:
- Makan pelbagai jenis makanan merangkumi 5 jenis kumpulan makanan setiap hari berdasarkan Piramind Makanan Malaysia 2020.
- Gunakan konsep Pinggan Sihat Malaysia #SukuSukuSeparuh bagi waktu makan utama (sarapan, makan tengahari dan makan malam).
- Hadkan pengambilan makanan tinggi gula, garam, berlemak dan serta makanan terproses.
- Hadkan pengambilan minuman berkafein seperti kopi dan teh
kerana ia boleh mengganggu penyerapan nutrien ke dalam tubuh jika
diambil secara berlebihan.
Perbaiki Status Kesihatan Bagi Persediaan Untuk Hamil
Caranya:
- Mulakan dengan gaya hidup sihat seperti bersenam setiap hari, berhenti merokok dan belajar menangani stress
- Usaha mendapatkan berat badan dalam kategori BMI normal sebelum hamil melalui pemakanan sihat dan senaman yang konsisten.
- Ambil suplemen Asid Folik setiap hari sekurang-kurangnya 3 bulan sebelum hamil.
Pemakanan sihat iaitu mengamalkan pengambilan makanan yang penuh nutrisi dan mencukupi masih perlu diteruskan semasa hamil. Wanita hamil juga
perlu mengikuti pemakanan yang lebih khusus bagi mengatasi masalah
kesihatan yang biasa dialami semasa hamil iaitu anemia. Amalan
pemakanan tersebut adalah mengelak pengambilan makanan dan minuman
berkafein seperti teh dan kopi. Di samping itu, peningkatan berat semasa hamil perlu dipantau untuk memastikan wanita hamil mencapai saranan yang ditetapkan. Jika peningkatan berat badan tidak memenuhi saranan ia boleh menjejaskan kesihatan kepada wanita hamil dan juga kandungan.
Mesej penting pemakanan wanita hamil
Mesej 1:
Capai peningkatan berat badan yang optima dengan memenuhi saranan keperluan tenaga harian setiap hari.
- Wanita hamil memerlukan anggaran 1600 kilokalori tenaga
sekiranya tidak aktif dalam melakukan aktiviti harian bagi peningkatan
berat badan yang optimum. Sekiranya ibu hamil melakukan aktiviti harian
yang sederhana aktif, keperluan tenaga harian adalah sehingga 1800
kilokalori.
- Tambahan sebanyak 80 kilokalori bagi
trimester pertama, 280 kilokalori bagi trimester kedua dan 470
kilokalori untuk trimester ketiga bagi menampung perkembangan bayi
sepanjang 9 bulan tempoh kehamilan.
 |
Rajah 1: Tip pemakanan untuk wanita hamil sihat
|
Mesej 2:
Ambil makanan yang pelbagai dan berkhasiat untuk mencapai keperluan tenaga harian.
Keperluan tenaga harian wanita hamil dapat dipenuhi melalui
pengambilan makanan berkhasiat yang meliputi 5 kumpulan makanan
berdasarkan Piramid Makanan Malaysia 2020.
-01.jpg) |
Rajah 2: Piramid Makanan Malaysia 2020
|
Mesej 3:
Jadikan Konsep Pinggan Sihat Malaysia sebagai panduan setiap kali waktu makan utama.
Pinggan
Sihat Malaysia membantu memastikan pengambilan makanan wanita hamil
adalah seimbang, pelbagai dan mencukupi. Isikan suku pinggan dengan
kumpulan bijirin, suku dengan kumpulan protein dan separuh dengan
kumpulan sayur dan buah. Ambil makanan seperti ini pada
waktu makan utama iaitu sarapan, makan tengahari dan makan malam.
 |
Rajah 3: Pinggan Sihat Malaysia
|
Mesej 4:
Ambil snek berkhasiat di antara waktu makan utama untuk meningkatkan pengambilan mikronutrien harian.
- Apabila hamil terdapat peningkatan keperluan beberapa jenis mikronutrien untuk memenuhi keperluan ibu dan bayi sepanjang tempoh kehamilan. Antaranya zat besi, iodin, kalsium dan folat. Pengambilan snek berkhasiat di antara waktu
makan utama membantu memenuhi keperluan mikronutrien tersebut.
- Contoh snek berkhasiat yang disarankan adalah seperti
kekacang rebus, buah-buahan, salad ayam, sandwich telur dan lain-lain
jenis makanan yang mengandungi sumber bijirin, sayur, buah, kekacang dan
juga protein.
- Elakkan mengambil snek tidak berkhasiat seperti kek, pastri, air
berkarbonat, dan lain-lain makanan seumpamanya kerana ia tidak membantu
dalam meningkatkan kesihatan ibu dan bayi dalam kandungan.
 |
Rajah 4: Wanita hamil ambil snek sihat antara waktu makan utama
|
Mesej 5:
Elakkan peningkatan berat badan berlebihan dengan
menghadkan pengambilan makanan dan minuman yang manis dan kurang
berkhasiat termasuk makanan terproses.
Kek,
aiskrim, biskut, pastri dan kuih-muih manis,
manisan, minuman kordial, jus buah-buahan dipek, minuman berkarbonat dan
makanan segera adalah antara contoh makanan yang tinggi kandungan gula
dan kurang nutrien. Makanan tersebut tidak membantu dalam
memenuhi keperluan mikronutrien wanita hamil malahan boleh
menyebabkan pengambilan kalori berlebihan dan menyumbang
kepada peningkatan berat badan yang mendadak.
 |
Rajah 5: Peningkatan berat badan semasa hamil
|
Pemakanan wanita hamil: Kesimpulan
Penjagaan kesihatan melalui pemakanan sepanjang tempoh sebelum dan semasa kehamilan amat penting untuk menjamin
kesihatan diri dan bayi. Pemilihan makanan yang berkhasiat,
seimbang dan pelbagai mampu memenuhi keperluan nutrien
yang diperlukan disamping membantu mencapai peningkatan berat badan yang
optimum.
Suka info kesihatan dan ingin amalkan gaya hidup sihat? Ikuti blog Sihat dan Yakin sekarang dan kongsikan kepada yang lain supaya kita dapat manfaat bersama.
'KEKAL SIHAT DAN YAKIN BERSAMA'